Thursday, September 8, 2011

Lelaki itu Suami dan Bapa...



“Aziz, berapa pendapatan ayah kamu?” Tanya Cikgu Nurul. Guru kelas tingkatan 2 Budi.

Aziz terpinga-pinga. Matanya merenung tepat kearah wajah Cikgu Nurul. Lidahnya kelu.

Tahun lepas, bila Cikgu Nurul Tanya soalan yang sama pasti dijawabnya dengan pantas;

“RM8000.”

Ketika itu suaranya ditinggikan sedikit dengan harapan rakan sekelasnya dapat mendengar pendapatan ayahnya yang merupakan pengurus besar di sebuah syarikat swasta. Bangga.

Tetapi, sesuatu telah berlaku kepada bapanya ketika zaman kemelesetan ekonomi pertengahan tahun lepas. Bermula dengan pemberhentian kerja akibat daripada ‘company downsizing’, satu-demi satu kemewahan yang dirasainya ditarik balik.

Jika dulu dia tinggal di rumah banglo, kini ayahnya hanya mampu membayar sewa untuk sebuah pangsapuri yang lama dengan gaji sebagai seorang pemandu teksi.

Pulangnya kerumah petang itu, dilihat ayahnya sedang menjamu hidangan makan malam. Kejadian pagi tadi menerpa mindanya sekali lagi. Mukanya tiba-tiba mencuka menjadi masam. Dicampaknya beg sekolah ke atas sofa lalu likas masuk kebiliknya.

Ibunya hanya menggelengkan kepala. Tanda kesal dengan sikapnya.

Ayahnya pula diam seribu bahasa. Ini bukan kali pertama Aziz berkelakuan begitu dan dia memahaminya. Mahu sahaja dia menitiskan airmata.

Hatinya sebak, pilu memikirkan kemungkinan dirinya gagal menjadi bapa di mata anaknya.
…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………
Sekali baca kita boleh mengandaikan Aziz dalam cerita diatas sebagai seorang anak yang derhaka dan tidak menghormati bapanya.

Memang benar Aziz tidak patut berkelakuan begitu. Tetapi ini tidak bermakna kita terus menjatuhkan hukum tanpa mengkaji puncanya.

Hal ini kerana sesetengah anak-anak cenderung untuk mengukur tahap kejayaan bapanya dengan jumlah wang ringgit dan juga kemewahan yang diberikan kepadanya.

Jika si bapa dapat memenuhi kehendak tersebut maka, ia akan mendapat tempat di sisi anak-anaknya. Si bapa akan diangkat menjadi idola dan jasanya akan disebut-sebut dikalangan rakan anak-anak.

Tetapi, sekiranya si bapa gagal untuk memenuhi tuntutan tersebut maka si anak tadi akan mula menunjukkan tanda-tanda kekecewaan yang pastinya boleh mencetuskan konflik antara si bapa dan juga anak.

Anak tidak lagi menghormati bapa. Bapa dipandang rendah dan lebih teruk lagi, diperlekehkan.

Buatnya si bapa tadi tidak mempunyai sifat sabar, pergaduhan anak beranak mungkin boleh berlaku. Jika tidak terkawal, konflik mungkin berlarutan menjadi lebih teruk seterusnya membawa kepada adegan simbah asid ataupun tikam menikam yang semakin menjadi-jadi dewasa ini.

Namun, untuk menyalahkan si bapa 100% dalam permasalahan ini sangatlah tidak adil. Didalam masyarakat yang masih lagi kuat bertaut dengan dogma materialistik, tentunya si bapa tiada punya pilihan lain selain menurut ‘sunnah’ masyarakat yang meletakkan kemewahan duniawi sebagai KPI kejayaan seseorang itu.

Selain itu, si bapa pula sudah tentunya terdesak untuk berjaya kerana ‘success’ dan menjadi idola di mata anak-anaknya mampu memberikan ‘sense of completeness’ dalam ‘karier’ kebapaannya.

Tekanan perasaan ini dicampur dengan tekanan dari tempat kerja mampu membuatkan si bapa yang lemah mentalnya kemurungan.

Apabila si bapa mula murung, ruh kebapaan sedikit demi sedikit boleh luntur dalam dirinya walaupun dia kelihatan masih lagi mampu melaksanakan tugasnya dalam memenuhi keperluan harian.

Akhirnya, si bapa tadi mungkin bukan lagi seorang bapa dalam ertikata yang sebenar.

Sebab itu dalam filemnya, The Company Men, John Wells cuba menggambarkan betapa susahnya menjadi seorang lelaki, suami dan bapa di zaman moden ini. Beliau cuba menyedarkan para penonton kepada hakikat betapa keperluan hidup yang menekan masa kini menyebabkan segolongan kaum Adam sangat-sangat bergantung kepada kerjayanya.


Tagline cerita ini ‘In America we give our lives to our jobs. It’s time to take them back’ sudah cukup untuk menggambarkan betapa kuatnya pergantungan tersebut. Sebagai contoh, untuk mendapatkan rawatan kesihatan di Amerika, rakyatnya perlu memiliki insurans kesihatan yang hanya mampu disediakan oleh majikan.

Malangnya, insurans hanya mampu dimiliki jika anda menjadi ‘hamba’ kepada kerjaya anda. Akibatnya, konflik kekeluargaan tercetus akibat tumpuan berlebihan yang diberikan lelaki, suami ataupun bapa terhadap kerjayanya.

Malangnya, saya masih lagi mencari-cari jawapan yang sebenar untuk permasalahan diatas. Mungkin saya masih lagi mentah untuk menemukannya.

Namun begitu, saya percaya bahawa anak-anak harus dipupuk dengan nilai kasih sayang yang tidak hanya dibuktikan melalui memenuhi kehendak kebendaan semata-mata semenjak kecil lagi.

Selain itu saya juga percaya yang seorang lelaki, suami dan juga bapa tidak boleh lari dari hakikat yang mereka memerlukan sokongan moral dari ahli keluarga mereka untuk menempuhi cabaran hidup yang serba mencabar ini.

Tetapi, perkara ini melibatkan hubungan dua hala. Maka, untuk mendapatkan sokongan mereka maka kita kenalah tunjukkannya terlebih dahulu. Jika perlukan sokongan isteri maka buktikan sokongan dan cinta kita padanya. Jika perlukan sokongan anak-anak maka pamerkan kesungguhan anda dalam menyokong mereka dalam setiap keadaan, samada senang mahupun sukar.

Buat mereka yang masih lagi bergelar anak-anak dan mempunyai bapa, hormatilah mereka kerana tiadalah lengkap hari seorang bapa melainkan persoalan “Adakah aku berjaya menjadi seorang bapa.” akan sentiasa bermain di benak fikirannya.

Persoalan ini bukannya sengaja dibuat-buat. Sebaliknya ia lahir di sebalik rasa tanggungjawab besar yang harus dipikulnya sepanjang membesarkan anak-anaknya.

Kadangkala, ia juga terbit tatkala timbul kerisauan dalam dirinya samada dia mampu menjawab ataupun tidak amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas dirinya sekiranya dipersoalkan di akhirat kelak.

Justeru, buat anak-anak, tunjukkanlah penghargaan yang sewajarnya kepada mereka. Tidak kisahlah bagaimana rasa penghargaan itu harus dijelmakan, kerana yang penting bukanlah bentuk penghargaan itu tetapi impak yang dihasilkan daripada usaha tersebut. Impak tersebut boleh jadi amat signifikan kerana ia membolehkan seorang lelaki merasa menjadi BAPA…

…dalam erti kata BAPA yang sebenarnya…

No comments: